Memaparkan catatan dengan label Cerita suka-suka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerita suka-suka. Papar semua catatan

Isnin, 24 Disember 2012

Info Sagil, Melaka tapi kat Johor

Sebut je Sagil, hampir 90% warga Melaka tahu tempatnya walaupun ia merupakan kawasan perkelahan air terjun di Negeri Johor. Dah macam Melaka punyer je gaya diaorang bercerita. Memandangkan jarak daripada Melaka kira-kira sejam, maka ia bukan sahaja popular menjadi kunjungan para ibu bapa bersama anak-anak tapi juga golongan remaja bermotosikal.

Imbas balik zaman aku remaja tahun 90 an. Dalam setahun sekurang-kurangnya dua kali aku bersama rakan-rakan bermotosikal kepunyaan abang / ayah masing2 atau menumpang kawan pergi ke sana. Pernah satu ketika aku pergi bersama lebih kurang 22 buah motosikal + penumpang = lebih 40 orang ke sana. Sampai polis nak mintak permit.. dulu tokleh konvoi ramai-ramai.. kena ada permit.. zaman sekang tak tahu plak aku kena soal macam tu lagi ke idak.. Tapi budak motor dulu memang pakar membohong, kitaorang buat tak kenal la antara satu sama lain je.

Nak info lengkap tentang Sagil???

Daripada Melaka kita akan melalui Jasin, kemudian Tangkak dan terus ke Sagil. Macam aku cakap tadi kalau bawa kereta santai-santai sambil menikmati pemandangan kampung dan gunung ledang, lebih kurang 1 - 1.30 jam. Sampai sana bayaran untuk kereta sebuah RM2 , motosikal RM0.50 + satu kepala dewasa RM1 + kanak-kanak atas 4 tahun RM0.50. Sangat murah kalau nak banding Legoland. kui kui kui... 

Sebenarnya kawasan mandi ni sangat tinggi dan agak jauh.. berjalan kaki dari parking untuk ke kawasan paling bawah hampir 10 minit jalan kaki.. dan sepanjang perjalanan menaiki gunung ledang berair terjun tu, kauorang boleh pilih port mana kauorang rasa selesa dan kosong lagi.. selalunya bawah-bawah penuh dengan mak bapak bersama anak-anak kecil diaorang. Standard budak remaja mendaki lagi 20 minit bro.. mandi bawah kena air kencing takut tak laku nanti. Dah terjelir lidah kepenatan, baru dapat kawasan kolam yang paras dada + seluas swimming pool dan lebih sejuk serta suci.  Mana yang bawak awek selalunya melencong ke hutan sikit atau main-main kat gigi air. Pernah jugak kecoh yang mengendap atau si pelaku kena sergah ular la.. tebuan la.. luka jatuh la.. agaknya balasan Allah cash kot. Sepanjang aku menempuh alam remaja aku dan kawan2 tak pernah plak buat macam tu sebab kitaorang ada slogan.. "kat kawasan gunung kerap turun hujan, jadi kalau kena sambau petir, macam mana nak bawak kau naik motor balik Melaka??"

Air dia aku confirm sejuk dan menyegarkan.. al maklumlah dah terjelir lidah berjalan dan mendaki, dapat terjun air sejuk.. lepas setengah jam.. aku gerenti mengigil-gigil kesejukan sambil makan keropok atau rambutan atau kacang... Kalau ada rezeki berhampiran dengan mak-mak cik dapatlah dia hulur makanan. Lepas makan  terjun semula.. lepas 2 - 3 jam baru fikir nak balik. Baru fikir tu.. Buatnya ada sekor dua musibat yang lemak tepu banyak dalam badan, terjun lagi... kau tak nak terjun pun.. dah pesen gurau macam biawak.. dia angkatnya kau pastu campak ke dalam air.

Balik kalau ada bajet lebih singgah plak kat bas stand Tangkak pekena Mee Bandung.... perghh.. tapi dah nama masih bersekolah.. selalunya balik terus.

Sampai rumah membongkang penat sampai maghrib...

Satu pesan aku mandi kawasan air terjun ialah.. kalau hujan renyai-renyai kemudian diikuti air menjadi semakin keruh dan sedikit laju, baik cepat-cepat naik darat... kerana takut-takut 'kepala air' akan turun. Maksud kepala air di sini ialah dipuncak gunung mungkin hujan lebat menyebabkan air banyak dan turun semakin  ke bawah semakin banyak dan laju. Sangat merbahaya kepada tongkang besar apatah lagi bot-bot kecil berada di bawah.

Tamat penceritaan ringkas Sagil, Johor. Pada orang Johor jangan lah marah judul entry ni.. aku gurau je. Aku confirm tahun ni aku sokong pasukan Bola Sepak Johor. Nak harapkan  pasukan Melaka, agaknya tengah melatih budak-budak bawah 12 tahun kot????  kena tunggu la lagi 8 tahun baru kitaorang menendang bak si kancil putih.

Chow

Ahad, 11 November 2012

Menimba (Bahagian 2)

Sambung dari Menimba Bahagian 1.

Sekarang aku nak citer menimba yang kedua iaitu menimba tanpa restu ibu bapa. Yang ni selalunya aktiviti budak kampung macam aku yang dah cuti sekolah. Satu hari tu, tiga orang sepupu aku datang rumah.. tengah duk lepak2 bersama adik aku.. maka aku ajaklah merayau belakang rumah. Belakang rumah aku ada parit yang agak lebar dan parit ini bersmambug ke parit yang lebih kecil tanah rumah aku dan jiran aku yang aku panggil Tok Mat (sekarang dah arwah). 

Setelah belek2.. akirnya sepupu aku cadangkan menimba di parit Tok Mat. melihatkan percikan air dan keluasan parit tak sampai sedepa budak darjah 6 ni.. aku dan lain-lainpun setuju. Maka mulalah aktiviti membuat empangan atau block di satu aliran parit.. setelah itu dua daripada kami menghalau ikan dari dalam parit besar ke ruangan yang bakal kami timba.

"Bahhh!! bahhh!! jerit adik aku yang dah macam halau kerbau plak sambil kayu ditangan di pukul dalamm parit agar ikan berdesup lari ke ruangan kawasan menimba kami.. setelah adik aku tercungap-cungap menghalau ikan, kitaoangpun tutup empangan. Maka, bermulalah aktiviti membuang air ke darata. Setelah hampir setengah jam, berputiklah gembira hati kami melihat sirip belakang ikan betuk dan sepat.

"Ahh!! kita timba samapai kering.. senang nak kuti" cadang salah seorang sepupu aku. Padahal ketika tupun dah boleh kutip dah...

Maka ntah kenapa bangannya kitaorang meneruskan aktiviti membuang air yang tinggal sedikit tu.. Terbayang tin cat 5 liter aku penuh dengan ikan. Wah!!! mesti mak aku peluk dan kucup aku nanti.. anganku bermula.

Tiba-tiba terdengar jeritan suara jerkahan. "WOII KAU BUAT APA TU HAH?? ABIS KEBUN AKU".

Mendengar suara tu yang aku memang pasti Tok Mat.. apa lagi.. terkedek-kedek la kitaorang menyelamatkan diri.. Yang sempat selamat tin kosong je.. Dalam 100 meter kitaorang lihat Tok Mat pecahkan empangan kitaorang.. Perghhh!! sejam berkubang.. dapat tengok sirip ikan jer???

Ini semua sepupu aku punya pasal.. kalau kitaorang sauk awal-awal dah tentu penuh tin cat ni..  Gerenti pelukan dan kucupan mak aku bertukar kepada leteran lepas ni.. anganku yang masih tak sudah.

Itulah namanya , kalau dah takde rezeki, nasi dalam mulutpun boleh tersembur keluar.

Pernah juga kitaorang menimba sampai kering di kawasan lain tapi akhirnya sekor ikanpun tak dapat.

Semua ni memori yang tidak ada harganya.. kini parit yang dulu jernih dah tercemar bersama pembangunan sekeliling...

Chow!!

Khamis, 25 Oktober 2012

Menimba (Bahagian Satu)

Tadi aku borak dengan member pasal zaman childhood aku yang agak comot. Yes. Aku budak kampung yang tahu balik rumah ketika time makan tengahari je dan hampir menjelang maghrib. Itu yang aku pelik, takde plak mak bapak aku risau aku hilang dari rumah ketika tu.. Anak-anak sekarang, agak2 kau berani lepaskan dia seharian??? Hilang dari pandangan mata je dah terjerit-jerit ko cari diaorang.

Ok.. aku pernah citer zaman aku mula-mula masuk tadika kemas,  zaman aku bersunat,  pengalaman kena kejar kerbau, cari siput sedut, tangkap ayam dan pelbagai lagi yang ada kat lebel Siri Pengalaman Masa Kecil.

Tak sah bagi aku budak kampung yang dikatakan bau macam kambing tak menimba. Bagi yang tak tahu menimba ni ialah mengeluarkan air daripada takungannya dan lebih menggunapakai baldi, gayung, pot susu dll. (Che Lah Wah!! macam kamus dewan plak).

Sepanjang aku zaman budak-budak ada dua situasi menimba. Satu yang diluluskan oleh kabinet bayangan parent aku dan satu lagi underground. 

1.   Menimba yang dapat kelulusan Kabinet Bayangan Parent.

Rumah aku ada perigi di mana arwah bapa aku sebagai seorang bekas pembawa jentera gali sungai (JPS) menggunapakai jentera tersebut gali perigi aku betul-betul dalam bilik air. Oleh kerana itulah sumber makan, minum dan keperluan lain, perigi itu amat dijaga oleh keluarga aku.. Yang bestnya perigi tersebut sangat jernih hingga nampak dasarnya tanah liat putih. Pernah berjasa untuk penduduk kampung aku semasa musim kemarau Melaka selama 6 bulan.

Oleh kerana jernih (hingga sekarang air tetap jernih) aku pernah campakkan seekor ikan betuk/puyu dalam perigi tu setelah tamat aku menonton citer Bawang Putih Bawang Merah... Alahhh yang mak dia jadi ikan kaloi tu... Lepas tu melisat la belakang aku kena rembat dengan mak aku..  apataknya perigi air buat minum dimasukkan ikan.. naya hanyir. Cilakak punya citer ikan kaloi... ko punya pasal aku plak jadi mangsa...

Maka setelah itu arwah bapa aku umumkanlah operasi menimba perigi.. Wahhh!!! memang sakan aku sekeluarga... macam pesta air.. cuma buih aku mintak mak aku, dia bagi sabun cap kapak... puas gosok tak kuar pun buih. 

Bayangkan air hampir dua yum (alah tempat yang selalu buat perigi tu) kena punggah keluar pakai timba, baldi dll.. best giler dapat keluarkan air. Habis keluarkan air, abang cam aku kena masuk untuk berus segala lumut pada yum dan bersihkan dasar perigi termasuklah tangkap ikan betuk yang aku campak tu.. kui.. kui.. kui...

Setelah hulur tangga, dia turun dan lakukan kerja-kerja pembersihan. Kitaorang kat atas makan cekodok ke.. lempeng ke.. apa yang patut. Lepas tu kitaorang campak baldi untuk dia masukkan tanah liat dan bendasing2 yang wajar dikeluarkan. Ada sekali tu.. aku campaklah timba jenis besi.. kelenkung kena kepala dia... Apa lagi??? diapun menjerit "Woi.. hawau ko.. siap ko aku naik atas.. siap ko.." jerit dia dari bawah perigi. Aku cakap dengan arwah bapak aku, boleh tak tak yah hulur tangga.. biar je bang cam dalam tu sampai bila-bila.. Nanti dia naik, gerenti dia balas kat aku. Yelah aku bukan sengaja... teeerrrrrbaling tepat atas kepala dia. Sapa suh dia duk tengah perigi... duk la sipi-sipi perigi tu. Tapi permohonan aku ditolak oleh arwah bapa aku tanpa memberikan alasan yang munasabah.

Aku potonglah adegan kes aku dengan abg cam aku. Lepas dah selesai pembersihan.. timba sekali lagi sampai kering. Lepas tu tangga diturunkan untuk bawa abang aku naik atas. Lepas 3-4 jam air perigi penuh kembali. Itulah pengalaman yang budak-budak sekarang tak rasa.. Kalau nasib baik timba air baldi. Cehh... apa barang.

Untuk Pengalaman Menimba Tanpa Kelulusan Kabinet, nantikan sambungan esok ke.. lusa ke.. tengok keadaan semasa. Tapi pastinya lebih menarik sebab aku menimba parit milik orang, aku kongsikan pengalaman bagaimana nak penuhkan kawasan timba dengan ikan dan ikan penuh nampak sirip belakang tapi akhirnya aku dan kengkawan tak dapat sekor pun. Tungguuuu.

Chow.

Rabu, 3 Oktober 2012

Orang Kahwinkan Anakpun Kau Masuk Dengki?

Artikel ni membalas kritikan terhadap Perkahwinan Ketua Menteri Melaka. Bukan aku memihak kepada Tok Ali tapi apa yang aku cakapkan sebagai sesama Islam bagi membetulkan fakta dan niat hati si penulis dan seankatan dengannya. Aku juga tulis sebab masa aku kahwinkan anak nanti, aku juga tak suka orang cakap macam tu pada aku...  

Semua dah tau baru-baru ni, Tok Ali kahwinkan anak lelaki sulong dia yang pertama. Bertambah kecoh bila 130,000 orang hadir ke Majlis ni.... Paling tak sedap kaitkan pulak mampu ke Ketua Menteri ni buat majlis hingga menjemput seramai itu. Hingga sanggup pula mengirakan jumlah kos perkahwinan hingga mencecah jutaan ringgit.

Adehhh.. aku tak kisah kalau yang cakap tu kafir harbi. Tapi kalau bersongkok haji tapi perangai lebih kurang kafir.. memang la aku kisah. 

Apa la punya dengkinya hati, fikirlah tanpa hati yang busuk sejenak. Perumpamaannya begini : Bayangkan bapa ko seorang nelayan yang pendapatan tidak menentu. Kau kahwin lepas tu bapak kau jemput satu kampung dan sedara mara kampung sebelah ditambah lagi kawan-kawan di tempat lain. Tiba-tiba orang persoalkan.. manalah bapak kau dapat duit buat kenduri panggil sampai sekampung dan kampung sebelah dan kawan-kawan dia??? Apa perasaan kauorang. Apa kehal jiran kau yang tak datangpun masa kau kawin kritik bapa ko begitu?? Boleh ker???
Aku sangat pasti Tok Ali tak amik port pun sifat busuk hati kau yang masuk campur hal dia. Tapi aku sebagai orang Islam tak gamak la biarkan orang Parti Islam cakap sesuka hati begitu. 

Kalau Tok Ali pergi rumah kahwin rakyat dia, paling koman dia hulur RM100.. kauorang fikir orang Melayu Melaka ni takde budi bahasa macam kau?? tentulah ada yang bagi walaupun aku sangat pasti Tok Ali tak la mengharap duit orang yang menghulur. Diapun tak amik pusing sapa tukang jaga salam kaut tu??? Tak payah hina Tok Ali la.. kau lagi teruk.. orang datang kawin umah kau, semua kau harap orang hulur. Orang bagi RM5, terus berkata-kata hati kau. Orang bagi RM50 siap bagi goodies bag special. Tapi thats ok.. itu budi bahasa dan resam kita di Melaka. Dengan duit sedikit tu.. mungkin meringankan beban tuan rumah. Sifat sangat mulia. Aku rasa dengan perenggan ni bukak sikit fikiran dan terang sikit hati tu.

Kenapa Tok Ali jemput sampai lebih 100,000 orang??? Aku dah cakap dalam entry aku sebelum ni.. Tok Ali Ketua Menteri Melaka bukannya Ketua Ranting atau Pusat. Sebagai Ketua Negeri tentulah jadi tanggungjawabnya menjemput seluruh rakyat di bawah pentadbirannya. Jemput makan pun jadi kesalahan ke??? Datang tak datang itu terpulang kepada individu masing-masing. Kalau rasa buang masa datang dan tak mahu datang, diam aje sudah.  Tak pernah pulak aku dengar orang nak datang majlis orang fikir mana la tuan rumah nak dapat duit layan tetamu yang datang??? Lotih la den.

Aku dah langsaikan tanggungjawab aku menegur walaupun agak keras. Nak terima sila terima.. kalau tak, tak pe. Sila jawab dengan pencipta kita kelak. Tapi aku sangat.. sangat.. sangat pasti.. makmum bersangka baik itu 130,000 kali ganda lebih baik daripada Tok Guru Hj Al Fadhil Ustaz yang bersangka buruk terutama sesama Islam. Kalau terasa aku minta maap ye.

P/S: Aku tak dengar pulak citer Penjawat Awam Melaka kena bertugas kecuali yang sukarela. Kebanyakkannya rakan-rakan dalam parti politik je kot.

Oklah.. Chow.



Isnin, 24 September 2012

Edisi Ketua Menteri Melaka Kahwinkan Anak





Walimatul urus kat atas ni bukan aku punya tapi Ketua Menteri Melaka punya. Anak sulung lelakinya bakal berkahwin pada 30 September ini bertempat di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka.

Apa yang aku nak cakap kat sini bukannya wakil kepada beliau untuk jemput kauorang walaupun beliau berlapang dada suami isteri menjemput semua orang ke majlisnya. Aku dengar citer.. dia estimated makan minum untuk lebih 100,000 orang. Boleh ajer kalau kauorang nak pergi.

Tapi aku nak citer

1)   Bagaimana pemikirannya yang menjemput orang tanpa mengira idealogi politik. Sebab katanya dia dipilih oleh majoriti sebagai Ketua Menteri Melaka. Jadi dia adalah Ketua Menteri bagi rakyat Melaka tanpa mengira fahaman politik. Justeru itu, majlis keramaian untuk anaknya adalah untuk semua. Aku tanya Pakcik makcik kat kampung di Melaka ni.. semua dapat kat jemputan kahwin Tok Ali. Punyalah bangga Pakcik Makcik tanpa mengira parti ni dapat jemputan Tok Ali. Tapi ada jugak yang memperlekehkan. Dah nama manusia.. hati macam2 warna. JKKK dipertanggungjawabkan untuk lakukan edaran. Kalau tak dapek memang sah JKKK tak buat kije le tu.

Kalau fikir-fikir semula rentetan kisah lalu... Perdana Menteri dipilih majoriti. Jadinya dia Perdana Menteri semua. Kalau Perdana Menteri semua, apa kehal la bangangnya pijak gambar Perdana Menteri sendiri. Esok-esok kalau betul la.. "Perdana Menteri" Pakatan yang dipilih majoriti.. maka suka atau tidak dialah Perdana Menteri Malaysia. Suka atau tidak, gambarnya kena juga gantung kat dinding. (Betul ke ada satu agensi di negeri Pakatan dilarang gantung gambar Perdana Menteri masa mula2 dia take over negeri tu? Harap2 tak betul la citer tu.)

2)  Kepada yang tidak berniat nak hadir ke Majlis ini yang di adakan di Dewan Tun Ali, maka janganlah berada di tempat kejadian atau sekitar persimpangan JPJ Melaka pada 30 September 2012 (Ahad). Guna alternatif lain. Contoh kalau dari Ayer Keroh nak ke area Kandang hingga Muar, boleh guna Persimpangan Tun Razak menghala ke Tehel atau guna je laluan Perindustrian Kilang Ayer Keroh /Kilang Ornasteel. Bukan apa takut kaurang terperangkap pulak nanti. Walau bagaimanapun aku confirm pihak berkuasa akan kawal lalu lintas. Jangan plak kauorang membebel nanti.. "menyusahkan rakyat la.. benci la... dll...". Dah time dia kahwinkan anak.. hormatlah.. masa ko kawin dulu jem jalan kampung ko.. pandai pulak suh orang bersabar. Hidup ni tolak ansur bro baru Allah S.W.T. suka.

Ok.. aku citer bukan wakil Tok Ali atau nak cover dia tapi tak nafikan aku respect kepimpinan dia sekarang. Aku citer pasal dia Ketua Menteri Melaka yang mengahwinkan anak dan beri maklumat kepada pembaca. Nanti kalau orang lain take over Melaka, mungkin aku citer pasal dia pulak. Cuma buat masa ni, aku tak nampak wakil PAS / PKR yang boleh memimpin Melaka. Pemimpin mereka tidak menunjukkan kualiti kepimpinan seperti TGNA atau TGHA atau Haron Din atau Hassan Ali atau Nasaruddin. DAP??? errrrr..... aku rasa aku lebih selesa orang Islam tadbir negara yang majoriti Islam kot.

Pendek citer.. tahniah pada Tok Ali bakal terima menantu dan kita doakan semoga semuanya berjalan lancar sepertimana kita nak orang doakan terbaik untuk perkahwinan kita.

Chow!


Selasa, 4 September 2012

Edisi Ketiga : Bahasa Slanga Melaka

Meh nak citer Edisi ketiga Bahasa Melaka setelah Edisi Ketama dan Kedua dilancarkan.

Bahasa Melaka ni kadang-kadang susah nak bagi maksud yang agak tepat tapi boleh difahami sekiranya kita melihat kepada ayat yang diberi.

Jom mulakan kelas: Antaranya ialah

1) Belo = Belo ni macam bangang atau bodoh tapi dia tak sampai tahap bangang / bodoh la.
Cth ayat : "Hahaha.. belo je ko samad buat dia macam tu"
Perkataan ni aku dah tak jumpa dah budak-budak Melaka sekarang guna. Zaman aku kecik 80 an dulu memang selalu guna.

2) Handau = erkkk.. yang ni aku tak tahu nak bagi makna.. kauorang cuba imaginasi je menerusi ayat ni.
Cth ayat : "Ko ni, handau je kena tipu dengan si Kassim Lempoyang tu"

3) Lemau = tak ranggup
Cth ayat : "tutup la tin biskut tu, nanti lemau pulak" Jerit Mak Simah

4) Cengkadak = hmmm... ah. kau layanlah cth ayat
Cth ayat : "Banyak cengkadak la budak ni, bagi betis nak tapak kaki plak."

5) Menonong = Lebih ke arah meluru kot
Cth ayat : "Woi kak Milah, menonong je tu. nak kemana tu hoi?"

6) Makan Sampau = merupakan makian standard makcik-makcik Melaka
Cth ayat : "Aje makan sampau budak ni la. buat orang terkejut je" kata Nek Limah selepas kena sergah dengan dak Kodek

7) Miong = pening lalat
Cth ayat : "Adoi, miong kepala aku kena ketuk senduk dengan Nek Limah, kata Kodek selepas berjaya sergah Nek Limah

8) Meleser (sebutan baku) =  anak mengesel badan dalam keadaan nak bermanja. Kalau bapak budak tu melenjan kot.
 Cth ayat : "alah rimas tol aku la kat budak ni, asyik nak meleser je kat mak dia."

9) Menyempil = menyelitkan badan
Cth ayat : "Tengok tu dak ajit tu, asal orang borak ade je menyempil kat mak dia."


Itu sahaja kelas kita hari ini, kalau ada lagi jumpa kat Edisi 4 ye. Choww...

Isnin, 3 September 2012

Keris Taming Sari



Gambar amik daripada google

Keris Taming Sari memang sinonim dengan Laksamana Hang Tuah pahlawan Melaka. Mitos atau realitinya hanya Taming Sari (nama pahlawan Majapahit) dan Hang Tuah berserta Hang Jebat yang tahu kerana mereka-mereka ini pernah menggunapakai keris lagenda tersebut.

Kebanyakkan orang tahu bagaimana Hang Tuah memperolehi keris tersebut. Sila tonton filem berjudul Hang Tuah lakonan P-Ramlee untuk mengetahuinya.

Keris tersebut dikatakan ditempa daripada gabungan 7 jenis besi termasuk besi kuning yang dimomokkan mempunyai keistimewaan kebal bila menggunakannya. Hinggakan dalam buku Hikayat Hang Tuah karya Kassim Ahmad berwarna hijau (sempat kattam 2 kali masa amik STPM) mengatakan (mengikut ingatan aku) ketika Portugis menyerang Melaka, Hang Tuah telahpun terlalu tua ketika itu. Ditembak Meriam Portugis kena pada Hang Tuah. Hang Tuah hanya Demam tiga hari. Kemudian Hang Tuah bawa diri ke Gunung Ledang. Begitulah kebalnya pemilik keris tersebut. Buku ni memang best.. aku baca rasa macam masuk ke zaman tu. Walaupun hampir sama tebal dengan buku Tun Mahathir namun karya itu buat aku begitu asyik.

Sambung balik...

Ketika Hang Tuah dibuang oleh Sultan Melaka, keris ini diserahkan kepada Hang Jebat. Dengan ilmu kependekaran nombor 2 dibawah Hang Tuah ditambah kelengkapan senjata misteri tersebut menyebabkan Hang Jebat tidak mampu diturunkan oleh sesiapa termasuk tiga lagi sahabatnya. Maka dikatakan Hang Jebat beraja dimata bersultan di hati.

Akhirnya Hang Tuah diampunkan dan dipohon untuk  Hang Tuah  hapuskan Si Jebat.

Sultan : Tuah.. boleh Tuah hapuskan arang yang dicoretkan dimuka beta?

Hang Tuah : Ampun tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun. Pati pacal yang hina akan usahakan sedaya upaya patik.

Sultan : Terima kasih Tuah, kau nyah-kan Si Jebat derhaka itu daripada bumi melaka.blogspot.com ini

Hang Tuah : Menjunjung titah tuanku tapi kembalikan keris patik Taming Sari untuk patik nyah-kan di penderhaka itu.

Sultan : Tuah... Kalau kau aku dah tak suka, keris kopun aku tak mahu. Aku dah kasi sama orang.

Hang Tuah : Sama sapa tuanku?? (Jeng jeng jeng...)

Sultan : Sama si Jebat (Jeng Jeng Jeng)

Hang Tuah : Kalau Taming Sari di tangan Jebat, jangan katakan nyah-kan si Jebat,  auww -kanpun belum tentu" kata perlahan Hang Tuah bila mengenang Taming Sari di tangan Jebat.

** sketsa ini tiada kaitan dengan mana-mana watak berkaitan kerana ia rekaan penulis semata-mata untuk lebih memahamkan diri sendiri.

HARI INI

Setelah beratus tahun penamat keris tersebut muncul dengan pelbagai versi.

Versi 1:

Kebanyakkan orang Melaka percaya keris tersebut dicampakkan ke Sungai Duyong dan tiba-tiba seekor buaya putih  menjelma serta menelan keris tersebut. Lalu bersemadi di dalam Sungai berpenunggu tersebut hingga satu masa diperlukan kelak.

Versi 2:

Ada juga cakap-cakap bahawa keris tersebut diserahkan oleh Hang Tuah kembali kepada Paduka Sultan hingga berlakunya proses Paduka Sultan keluar daripada Melaka akibat serangan Portugis dan mewariskan keris tersebut kepada pewaris yang kini berada di Kesultanan Perak. Dikatakan susur galur Kesultanan  Perak berasal daripada Kesultanan Melayu Melaka. Kini dikatakan tersimpan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak,

Versi 3:

Keris tersebut dikatakan telah disembunyikan di Pulau Besar yang dianggap oleh keramat oleh sesetengah orang.

Walau apapun versi, tiada siapapun mampu mengesahkan dan menjadi rahsia. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Apapun cerita tentang taming sari, namun tetaplah kita sebagai seorang Islam bahawa tiada benda yang lebih berkuasa daripada Allah dan sebarang kemudaratan itu berlaku dengan keizinanNYA jua.

Hang Tuah dan Hang Jebat, siapakah yang benar???? nantikan jika diizinkan aku citer ikut idealogi aku.



Khamis, 2 Ogos 2012

Gitar

Baru-baru sempena hari lahir aku Cik Teman aku menghadiahkan sesuatu diluar dugaan. iaitu....



Memang lama giler aku tak main gitar ni. Kali terakhir aku pegang gitar kapok abang long aku masa tahun 1995. Pada waktu itu aku first time belajar main dengan abang zamri. Puas aku kena ketuk sebab jari keras. Pastu siap suh aku tekan kuat-kuat tali 'steel' tu. Pergh giler.. mengelupas kulit jari tangan kiri nak memahirkan kod. Masa tu lagu yang biasa aku mainkan ialah "Dia Ambang Wati - Wings" dan "Bidadari - Lela"

Belum sempat mahir tahap guitaris legend seperti Slash-Gun n Roses atau Kirk Hammett-Metallica aku buat keputusan tumpukan peperiksaan STPM. Gitar itu pun hilang.
 Slash

Kirk

Kini aku miliki semula sebuah gitar acuistic dan kena start balik belajar A to Z. Rasanya setahun lagi pandai la kot. Haha.

Maka beberapa perkara lazim disekitar anda dalam percubaan belajar main gitar ialah:

1) Mesti ada gitar sendiri. Satu ketika dulu aku tidorpun dengan gitar. Mulakan dengan gitar murahpun takpe tapi tengoklah juga tahap kualitinya. Aku pernah jumpa satu di gitar kat pasaraya yang Fretboard gitar (alah yang bar-bar pada hujung gitar) tu tak cukup sifat. Aku tanya Cik Teman aku dia beli sekitar RM300 ++ termasuk alat tune gitar. Alat tune ni tak belipun takpe. Bagi budak tak pandai cam aku je sesuai. Hehe

2) Aku gerenti jari yang pegang kod akan sakit. Lebih-lebih lagi guna tali steel. Nak guna tali Nylon pun boleh tapi bak kata kawan aku.. itu gitaris pondan. Ceiit terus aku tak jadi tukar tali. Hujung jari nanti akan mengelupas dan akhirnya bertukar menjadi keras seperti kulit raksasa. Acah je.. akan rasa keras sikit.

3) Sampai satu tahap di mana anda rasa tak pandai main. Akhirnya akan putus asa. Maka hati-hati dengan sikap negatif ini. Pastikan semangat Slash sentiasa meresap dalam jiwa anda. Hahaha

4) Jangan takut tali putus. Itu perkara biasa. Harga tali ikut kebesaran. Kalau tali 6 (paling besar) dalam RM3.00 - RM4.00 kot. Huhuhu kalau putus tali ni memang la ko kuat sgt goreng. Tali 1 (paling halus) dalam RM1.60 - RM2.00. Alah kebanyakan kedai runcit / buku Cina ada jual. Kalau tukar satu set lagi bagus sebab boleh sama jenis tali.

Bagi jantan-jantan macho, dengan kemahiran bermain gitar ni.. percayalah saham anda naik satu mata. Kalau kena gaya silap gaya 100 mata. Bagi yang belum ada basic aku suggest carilah guru sebab mudah nak soal jawab. Guru terbaik ialah abang-abang kat pondok tu. Sebab makian, kutukan dll yang boleh buat cepat pandai. Kalau takut carilah Kedai Belajar Muzik. Kat Melaka ni setahu aku salah satu kedai belajar muzik kat area Taman Mutiara Batu Berendam.  Tapi yang dah ada basic.. tahu cord dll boleh ko belajar kat youtube je sebagai memahirkan diri kot.

Apapun terima kasih Cik Teman, lepas ni start la semula sesi pembelajaran aku main gitar. Greng.. Greng.. Tussss.. (gitar putus).

Aku teringat pesan seorang ustaz. "main, main juga tapi jangan sampai jadi NAJIS". Aku rasa semua faham kot maksud dia tu.

Chow

Jom layan Hotel California dulu..


Khamis, 12 Julai 2012

Pemberontakan Pertama Di Melaka

Lama plak aku tak ceritera pasal Sejarah Melaka.. meh kita zoommmm...

Bila baca cerita pasal Mesir, Syria, Iraq dll maka terimbas kita tentang pemberontakan. 

Kisah dibawah ini bukan kisah 100% benar dan ianya disesuaikan dengan humor agar anak muda tak rasa menyampah dengan sejarah. Ia juga tiada kaitan dengan sesiapa atau apapun kecuali lipatan sejarah semata-mata.

Mengikut kisah, pemberontakan pertama di Melaka ialah ketika zaman Raja Ibrahim yang bergelar Parameswara Dewa Syah. Sapa Raja Ibrahim?? Baginda anak kepada Sultan Muhammad Syah (1424 - 1444) dan bondanya iaitu Puteri Rokan.  Baginda mempunyai abang ibu lain iaitu Raja Kassim di mana ibunya ialah Tun Wati anak Mani Purindan. Orang Kebanyakan. Pehh pening... Faham? Tak faham lantak la... aku nak citer pasal pemberontakan bukannya salasilah.. Itu lain kali aku citer.

Walaupun dari segi senioriti Raja Kassim patut take over tahta Melaka, namun disebabkan campur tangan bapa saudaranya Raja Rokan, Raja Kassim telah diusir dengan alasan ibunya orang kebanyakan.Hakikatnya ramai pembesar kureng dengan pemerintahan Raja Ibrahim yang dianggap boneka kepada Sultan Rokan, namun pembesar masih bersabar disebabkan umur muda Raja Ibrahim.

Raja Kassim pun keluarlah dari Istana duduk di perkampungan nelayan bernama Umbai (yang ni aku belasah je). Di perkampungan nelayan itu berjumpalah Raja Kassim dengan Maulana Jalalludin yang tiada kaitannya dengan Jalalludin Hassan. 

Lama jugak Raja Kassim termenung kat jeti sambil tengok ikan belacak ternguit-nguit kat lumpur. Sekali tengok dah macam adik dia jer.. sakiittt je hati. Tun Ali iaitu bapa saudara Raja Kassim merangkap Penghulu Bendahari tengok pun sedih je.. 

"Hari-hari termenung kesian plak aku tengoknya maulana" kata Tun Ali kepada Maulana

"Iyolah.. dah hitam dah kulit dio asyik berjomur jer" Balas Maulana

"Apa kata kita ramai-ramai anjurkan demonstrasi bersih 1.0001 nak tak?" Kata Tun Ali lagi

"Gilo ko nak buek demontrasi.. Kang MRU (Melaka Reserved Unit) sembor air, kocut tolo den" Kata Maulana.

"Ye tak ye jugak.. Kalau begitu kita serang jelah Istana.. nanti aku kawtim dengan pembesar lain" Cadang Tun Ali.

"Itu den sotuju!! sobab MRU tak sompat laei nak nimba air kat parit nuu.." Panjang muncung Maulana.

Maka merekapun buatlah analisis SWOT bagi menjayakan rancangan tersebut. Hampir semua pembesar bersetuju dengan rancangan Tun Ali termasuklah Bendahara Seri Wak Raja yang memang berbulu je dengan tindak tanduk Raja Rokan ibarat bersultan di mata beraja di hati. 

Malam yang dinantikan tiba, mereka terus masuk ke Istana dan bertempur. Tentera Melaka yang melihat Bendahara Seri Wak Raja memainkan peranan telahpun berpihak kepada Bendahara. Maka berlakulah pertempuran antara tentera Melaka vs Tentera Raja Rokan. Setelah 7 jam bertempur termasuk tolak solat Jumaat dan buang air kecil serta besar, maka berlakulah peristiwa di mana Raja Rokan ingin melindungi (memeluk) Raja Ibrahim tertusuk kerisnya  ke perut Raja Ibrahim. Lepas tu Raja Rokan juga dibunuh oleh tentera Melaka.

Parameswara Dewa Syah ataupun Raja Ibrahim pun mangkat dan dimakamkan dengan gelaran Abu Syahid, dimana pemerintahannya hanya sekitar 17 bulan sahaja.

Setelah itu tertaballah Raja Kassim dan digelar Sultan Muzaffar Syah.

Jumaat, 18 Mei 2012

Guru + Hukuman = Manusia

Happy Belated Teacher's Day.

Selamat Hari Guru walaupun lewat. Sememangnya aku sangat menyanjungi seseorang yang aku gelar guru. Tambahan pula, 3 daripada 6 adik beradik aku merupakan guru manakala 2 kakak ipar aku pula guru. Jadinya 5 daripada 6 keluarga adik beradik aku menerima rezeki sebagai seorang guru. Kecuali aku seorang. Hehehe

Imbas kembali kenangan zaman aku persekolahan di tahun 90an. Banyak jugak kenangan lucu gelagat seorang guru dengan hukumannya.  Antaranya

Masa tingkatan 2, kelas aku di tingkat 3 berhadapan padang sekolah. nun selepas padang sekolah deretan pokok kelapa sawit. Ntah apa kesalahan kami satu kelas.. Cikgu Mat Kalip (nama sebenar) iaitu Cikgu Seni suruh kami lari dari kelas ke pokok kelapa sawit nun sana dan ambil sehelai daun kelapa sawit dalam masa 3 minit. Kalau lebih pergi sekali lagi.. amik lagi selai. Pergh giler.. dengan satu sergahan.. terbas semua lari dah macam anak itik kena sergah Pak Mat Mudim.Belarilah kami semua pergi turun tingkat satu.. dan terkedek-kedek tengah padang lelaki dan wanita berlari nak dapatkan daun kelapa sawit. Member sebelah aku berlari bagai nak rak.. Dalam hati aku tokleh jadi ni.. kang kalau aku lambat habis plak daun kelapa sawit... Bila tiba kat pokok kelapa sawit... semua jadi bengong sebab tak tahu nak putuskan daun tu.. pisau pun takde.. ceh kejadah sungguh. Dengan berkat kesungguhan, akhir boleh plak budak-budak ni dapatkan.. tapi masa memang dah lebih laa... Akhirnya sekembali ke kelas dengan oksigen yang tak berapa cukup.. Cikgu Mat Kalip suruh bertenang dan berkata.. hari ini saya ingin mengajar membuat ketupat. Ceh!! hawau nye cikgu.

Cikgu ni jugak suka rendam budak-budak nakal dalam kolam sekolah sehingga waktu rehat. Kalau sekarang buat macam tu, mau dah masuk balai kot. Nampak gaya memang budak-budak dulu lagi keras hati.. Tak berani nak ngadu dengan mak bapak.. mau dapat pelempang lagi kot.

Kemudian di tahun yang sama ada Cikgu bernama Zainuddin yang mengajar Bahasa Melayu. Hukumannya terbahagi kepada tiga dan kita boleh pilih.

1)  Cari 20 duri semalu lengkap dengan akar, daun dan batang
2)  Cari 50 helai plastik gula-gula
3)  Bawakan sehelai daun duri semalu tapi tidak kuncup.

Selalunya budak-budak perempuan pilih no 2 dan budak lelaki pilih no. 1. No 3 aku pernah try tapi tak pernah berjaya. Patutlah mintak satu je. ceiittt!!!

Bab rotan ni mungkin pilihan terakhir cikgu-cikgu aku ketika tu terutama dah tingkatan 4 ke atas.  Tambahan pula aku berada di Kelas 5 Sains dan satu-satunya kelas sains dalam sekolah tu. Seingat aku masa tingkatan 5 ada sekali aku kena rotan dengan guru kelas aku.  Oleh kerana aku dalam kelas sains, maka kelas aku berhadapan makmal sekolah.Bila cikgu kelas aku sedang mengajar di makmal.. dia ternampak aku dan Azdy sedang bermain pedang (pembaris kuning). Kemudian dia datang dengan sebilah pembaris kuning makmal. 

Dia panggil dan tanya.. "Kauorang main apa?"

Kami jawab " Main Thundercat dengan Mambra"

Dia tanya " Sapa Thundercat? sapa Mambra?"

Aku jawab "Azdy Thundercats. Saya Mambra"

Lepas tu dia bagitau "Hah!! ni Jaguar datang!" 

Kena sebat kat betis sorang sekali.

Ceh!! sekali bapak Thunder Cat datang. bisik hatiku...

Kali terakhir aku kena hukum masa tingkatan 6 bawah. Cikgu Musalmah mengajar BM 1 suruh aku dan Mat Dat (nama manja) diri atas kerusi tapi sebab dah tingkatan 6, kita orang diri je tepi kerusi. Itu menaikkan kemarahan Cikgu Musalmah yang memaksa kitaorang berdiri sepanjang tempoh 2 sesi pembelajaran. Cilakak Cikgu ni.. Lepas tu aku bertekad untuk buktikan kat Cikgu tu aku boleh berjaya dalam Kertas BM 1 tersebut. Alhamdulillah.. keputusan STPM aku berjaya dapat A1 dalam Kertas BM 1 tersebut. Aku jumpa cikgu tu semula dan ucapkan terima kasih sebab didik aku.

Kalau ingat-ingat banyak sungguh jasa guru-guru aku mendidik dan bersabar dengan kerenah murid-murid macam aku demi mendidik menjadi insan berguna. Tanpa didikan dan hukuman sewajarnya aku rasa aku tak capai hidup seperti sekarang.

Kepada pelajar sekarang kalau setakat cikgu hukum dengan hukuman yang difikirkan tidak melampaui batas.. maka terimalah dan jadikan teladan untuk lebih berjaya. Kalau setakat kena sedas kat tangan dah report polis..  aku harap kauorang fikirkan semula kesalahan diri sendiri untuk masa depan.

Jadi.. aku ingin ucapkan selamat Hari Guru kepada semua guru di Malaysia terutama yang pernah mendidik aku.

Toh Cheh Sifu!!!! 

Rabu, 18 April 2012

Only In Malaysia

Disebabkan aku belum mengenalpasti isu-isu terkini kat Melaka dan memandangkan ada segelintir pembaca luar Melaka.. maka aku tertarik untuk berkongsi tentang clip "only In Malaysia" untuk tontonan umum. Tersenyum aku dengan sebahagian budaya di Malaysia yang mungkin tiada di tempat lain. Jadfi, enjoy la kat Malaysia dan bersyukurlah kita hidup di dalam salah sebuah negara paling aman di dunia. Cukup membangun.. Sejahtera dan rezeki yang melimpah ruah. Paling best dalam video ni ialah pada masa 7.02.

Kepada team yang mencipta video ini... salute to u all. Jom layan kalau ada masa.

Jumaat, 13 Januari 2012

Bahasa Slanga Rakyat Melaka Edisi Kedua

Sambungan daripada SINI.
Terima kasih kat rakyat Melaka yang menokok tambah dalam Bahasa Slanga Edisi Pertama

Bahasa SEBUTAN orang Melaka selalunya memendekkan daripada tiga suku kata kepada dua suku kata.
Contoh:

Kerusi = Kosi
Periuk = Piok
Kereta = Kete
Telefon = Tipon
Kertas = Ketas
Rambutan = Mutan
Gergaji = Gaji
Buaian = Boyan
Perigi = Pigi
Jambatan = Jematan
Kereta Api = Ketapi
Cili Padi = Cili Api

Lagi satu perkataan paling glamour di kalangan budak-budak lelaki yang kahau ni ialah perkataan
Musibat = Musibat ni lebih kepada panggilan yang agak kasar sesama kewan yang agak akrab.
                  Cth : Woi, Musibat! ko tak pegi ke tengok lombe kete kat Muau.

Edisi Ketiga akan menemui anda tidak lama lagi..

Rabu, 11 Januari 2012

Bahasa Slanga Rakyat Melaka

Semua negeri ada bahasa masing-masing yang dikenali sebagi bahasa slanga. Begitu juga Melaka. Oleh itu, aku nyatakan sikit bahasa di Melaka untuk kegunaan pelancong di Melaka dan mereka yang ingin memasuki alam rumah tangga bersama orang Melaka.

Aku pernah dengar citer juga bahawa ada negeri yang mak bapak kurang senang untuk berbesan orang Melaka sebab dikatakan kasar. Hmmm.. tak nafikanlah sebab kalau orang Melaka ni bercerita atau bergurau memang nampak macam nak bergaduh.. tapi insyaAllah hati tetap baik. Bak kata pepatah orang tua Melaka "Mulut jahat tapi hati tak sampai".

Ok mulakan kelas.. Walau bagaimanapun, ada juga perkataan ni yang tidak lagi digunakan zaman sekarang.

1)  Kebanyakkan perkataan Melayu hujungnya huruf "A" akan ditukar ke "E".
     Cthnya : "Orang Tue dan Mude Melake Kalau Cerite pasal Gule sampai bile tak habis. Iye le...."

2)  Kebanyakan perkataan Melayu yang hujungnya huruf "R" akan ditukarkan ke "U"
     Cthnya : "Seluau kulit ulau kau ade sangkut kat pagau"

3)  Selalunya bila borak orang Melaka akan letakkan perkataan "dak" di hadapan nama seseorang. Mungkin sebagai pengganti "budak".
    Cthnya: "wei, Hasan, Dak Man kirim salam"

4)  Seterusnya perkataan dalam bahasa Melaka
     Lahabau / Hawau / Lahanat : Ni bahasa Maki standard Melaka
     Kain Sal : Tuala
     Kuih Kemohong : Kuih ala-ala pau tapi inti kelapa
     Mentekedarah / Memboko : Makan tapi bahasa kasar
     Kahau : Kasar cth: "bahase Si Mat tu kahau betul"
     Godak : Kacau (lebih kepada kacau air) cth: "Godak le air teh tu minah"
     Gobok : Almari
     Lopak : bekas pensel
     Raber : Pemadam
     Garisan : Pembaris
     Coreng : selekeh cth: "alah corengnya muka kau Abu"
     Pot : Tin cth: "Aku kalau dah tengok kepala ko besau pot susu.. naya ko"
     Centong : Alat Pengacau dodol
     Karen : Elektrik
     Motokar : Kereta
     Ikan Betuk : Ikan Puyu
     Ikan Guan : Ikan Haruan
     Goli : Guli
     Songkok Haji : Kopiah Putih
     Pangkin : tempat lepak atau tepat duduk selalunya di luar rumah
     Bangsal : Stor belakang rumah
     
Oklah inilah sebahagian.. lain kali aku ingat aku up lagi... Namun, ingin aku ingatkan bahawa bahasa ni juga terpengaruh berdasarkan kawasan di Melaka di mana mungkin kat area Ramuan China banyak bercampur dengan elemen Negeri Sembilan. Begitu juga kalau di Sungai Rambai.. bercampur baur dengan Muar. Walau bagaimanapun apa yang aku selitkan di sini merupakan bahasa yang aku faham dan pernah dengar.

Chow

Sambungan Edisi Kedua


Rabu, 4 Januari 2012

Hari Petama Aku Tempuhi Alam Persekolahan


Selamat menempuh alam persekolahan terutamanya bagi Tadika atau Tahun satu. Sekarang ni ibu bapa plak lebih excited daripada anak-anak.

Terimbas plak zaman aku mula-mula masuk Tadika ketika tahun 80an. zhiingggg zass (time machine).

Aku ingat lagi aku kena tadika KEMAS kat kampong aku tapi oleh kerana rumah Wan (nenek) aku dekat dengan sekolah tu, maka malam pertama alam persekolahan aku kena tidor umah Wan sebab mak aku tak larat nak hantar. Ini semua adik aku punya pasal… Tak pasal-pasal sebahagian hidup kecil aku ada bersama arwah wan. Itu sebab selalu kena sekel dengan aku dan lepas tu mak aku plak libas aku…

Sambung citer aku.. malam yang damai tu aku tidur umah wan yang sememangnya Aki aku dah meninggal dunia. Jadi, keesokan pagi aku dipimpin mesra oleh Wan ke tadika yang kira-kira 300 meter daripada rumahnya. Sampai di Tadika, aku tengok budak-budak ni macam kena hysteria, yang meraung-meraung, yang berpaut kat kain makpun ada.. sampai terkial-kial mak diaorang pegang kain takut terlondeh.. itu belum aksi anak berlari bersama bapa keliling gelongsor. Lepas aku tengok cikgu aku bersama pembantu.. hati aku menjadi kecil.. dan semakin kecil.. akhirnya akupun rasa tak nak tinggal di tadika tu. Kauorang tak caya tengok gambar cikgu aku kat bawah. Betul kan?? takut kan?? tak macam Maya Karin dan Lisa Surihani pun?. Itu sebab semua nangis…


Then, sudut hujung ada budak nama Salleh (ini nama sebenar) panggil aku yang sedang menggeleng-geleng pada Wan aku sambil berkata “tak mo cikgu ni.. tak mo.. nak cikgu Maya Karin dengan Rozita Che Wan”.

Wan aku terus memujuk dan akhirnya aku terleka dengan jam burung hantu. Aku main dengan asyik. Tiba-tiba, aku toleh Wan aku dah hilang??? eh! mana plak orang tua ni?? Kalau kat Supemarket boleh la aku buat announcement. Oleh kerana aku tiada lagi pelindung, maka aku terus kepada Salleh, main buaian dengan dia sambil ditemani seorang budak perempuan yang sangat putih bernama Emily Yanti (ini juga nama sebenar). Aku rasa semua budak lelaki tertumpu pada budak ni. sebab semua sangka dia anak mat saleh. Yelah namapun Emily beb. Aku tengok budak perempuan lain, Rozana la, Khadijah la, Zarina la, Wati la, Fatimah la…

Sampai masa, semua kena beratur… pergi amik satu cawan plastik warna merah bertangkai  + sepiring dua ketul donat. Dah sudah makan lari lagi… sampai masa balik, aku tengok Mak aku plak muncul.. Wah macam tak caya.. rupanya Mak akupun rindu kat aku.. 

Aku paling ingat aku sekolah sampai bulan 6 jer.. Kesnya, satu hari cikgu buat rombongan ke Kota A-Famosa, Bandar Hilir. Aku cakap dengan mak aku, dia kata takde duit. Isnin tu semua orang pergi sekolah untuk menghadiri rombongan kecuali aku. So, aku tak pergi la sekolah…  Cikgu kata Isnin jer.. tapi aku terlajak sampai habis persekolahan. Nasib baik darjah satu dan dua aku jenis boleh cepat belajar dan membaca... Kalau tak mesti darjah 4 kena masuk kelas pemulihan.

Itulah pengalaman persekolahan aku yang pertama. 

Selasa, 29 November 2011

Selamat Bercuti

Selamat bercuti sekolah untuk budak-budak dan mak bapak budak. Bagi yang bujang atau anak belum sekolah, ucapan selamat ini tiada kaitan dalam hidup mereka kecuali pergi kerja waktu pagi semasa lalu depan sekolah terasa sikit lengang.

Kepada adik-adik yang bakal di'dewasa'kan.. selamat mempertaruhkan nasib. heh heh.. ngennn.. ngenn.. (bunyi chainsaw). Pengalaman aku

Dalam hujan-hujan ni.... ada pulak yang bakal bernikah. Tahniah.. jangan kalut macam entry sebelum ni sudah.

Kepada yang nak bercuti selamat bercuti.. kepada yang nak melancong di Melaka.. saya alu-alukan.. sini tips untuk yang pertama kali masuk ke Melaka.

Ok.. chow..

Selasa, 22 November 2011

Bola Sepak Sukan Sea : Misi Balas Dendam Tidak Membawa Kejayaan

Sebenarnya dalam perlawanan Bola Sepak Sukan Sea di Jakarta ini ada beberapa negara dalam misi membalas dendam.

1) Malaysia ingin membalas dendam kepada Singapura akibat tewas ketika kelayakan piala dunia lalu.

2) Thailand ingin membalas dendam kepada Malaysia kerana menggagalkan mereka di peringkat kumpulan ketika Sukan Sea di laos pada tahun 2009.

3) Vietnam ingin membalas dendam kepada Malaysia kerana tewas ketika pusingan akhir sukan sea di Laos

4) Indonesia ingin membalas dengan kepada Malaysia kerana tewas dalam Piala AFF Suzuki tahun lalu.

Yeah terlalu banyak dendam bersekitaran dan rasanya semua tahu Islam tidak menyukai sifat ini. Lantaran itu, tiada satupun pasukan yang berjaya melunaskan sifat negatif tersebut. Harap dapat jadi pengajaran kepada hambaNYA bahawa dendam tidak perlu ada dalam diri jika ingin berjaya dalam hidup ini.

Tahniah kepada pasukan Malaysia dan Indonesia tidak kurang hebatnya. Aku rasa Malaysia menang sebab Allah menyebelahi Malaysia yang bertandang sebagai tetamu tetapi dihina dan diberikan layanan buruk oleh tuan rumah. Bukan ke Allah suruh melayani dan melindungi semua tetamu yang hadir. Harap ini juga dapat jadi pengajaran.

p/S: Pagi-pagi buta ni aku dah maki sorang member aku bila dia cakap Malaysia menang nasib. Hah! kan dah kena maki pagi-pagi... aku suh dia main guli jer... Penat sungguh pemain muda mempertahankan setiap robekan... senang-senang cakap nasib. Memang Hawau!!!!

Khamis, 17 November 2011

Tok Ali Tukar Kerjaya Sebagai Penarik Beca

Gambar di bawah ni tak heran la aku sebab Tok Ali ni memang jenis mudah mesra terutama kanak-kanak. Dia layang cakap dengan kanak-kanak macam member jer..

Pernah ada satu tragedi.. Tok Ali jalan kat karpet merah untuk perasmian apa ntah.. tiba-tiba datang budak umur lebih kurang 5 - 6 tahun.. menghalang karpet merah tengah Tok Ali jalan sambil memekik "Tok Ali!!" dan tangannya di depakan macam orang nak kutip tol kawin.

Lepas tu Tok Ali ketawa dan salam budak tu.. serta cubit mesra pipi budak perempuan tu... Kemudian teruskan perjalanan untuk hadiri perasmian... Itulah Tok Ali...

Kalau aku jadi budak bawah ni.. kompom aku simpan gambar ni hingga anak cucu. Aku rasa dia baru selesai jogging kot berdasarkan pakaian dia ni. Kalau tak Subuh (sebelum budak bersekolah) atau Maghrib.


Ok memang aku puji Tok Ali bab-bab begini atau berkaitan dengan hal rakyat. Memang sangat berkesan kat hati aku sebagai pemimpin berjiwa rakyat tapi Tok Alipun ada keburukan dan pernah aku citerkan sebelum ni..

Menteri Besar lainpun ada yang begini kot... termasuklah negeri PR tapi itu kena cari kat blog lain la...

Anyway.. Tok Ali teruskanlah sikap ni... kelak Tok menjadi kesayangan rakyat.

Selasa, 11 Oktober 2011

Lawak Sebab Aku Tak Setuju Pencen 60 Tahun

pic aku amik kat facebook


klik entry aku sebab aku kurang setuju bersara umur 60 tahun tapi apa boleh buat pegawai tinggi kerajaan mungkin ada idea yang lebih bernas. Chow..


Jumaat, 30 September 2011

Kaki Facebook

Gambar ni aku culik kat salah satu pasaraya di Melaka....


Pertunjukan Muay Thai

Kepada peminat aksi-aksi alah TONY JAA.. boleh terus menatap banner kat bawah ni...



Tony Jaa


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Penafian: Segala maklumat yang tercoret ini adalah hasil idea dan maklumat yang diperolehi TIDAK BOLEH digunakan sebagai rujukan utama atau bahan bukti dalam apa jua tindakan.

Pihak pengurusan web tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kemudaratan yang terjadi selepas menggunakan web ini.

Pihak pengurusan web tidak bertanggungjawab atas segala ulasan yang dibuat oleh pembaca. Oleh itu, semua pengulas dapat mengulas dengan mengikut tatasusila tanpa menyentuh kepentingan agama, bangsa dan politik tanahair.

Segala kisah dan cerita di dalam ini tiada kaitan dengan yang masih hidup ataupun yang mati kecuali kesahihannya disahkan oleh sumber yang boleh dipercayai.

Pihak pengurusan web bersedia membetulkan apa jua fakta yang dirasakan tersilap dengan menghubungi di email miey77@hotmail.com