Isnin, 14 Mac 2011

Nak Sewakan Rumahpun Susah.. cesss

Zaman sekarang ni nak sewakan rumah atau kedai pun kena berhati-hati... Penyamun pun dah pandai berlakon sewa rumah.. lepas tu dia kebas barangan dalam rumah. cess.. memang tak senonoh. Kumpulan penyamun ini dikenali sebagai kumpulan Ah Nga. ni.. rasanya adik kepada Ah Long kot..

semalam 3 daripada ahlinya telahpun diberkas... tahniah dan terima kasih kepada abang-abang polis.. salute to u all..

MELAKA 13 Mac - Polis menumpaskan kumpulan samun yang berpura-pura menyewa kedai dan rumah sebelum menyamun mereka dikenali sebagai 'Geng Ah Nga' dengan tertangkapnya tiga ahlinya di sini, baru-baru ini.

Ketiga-tiga lelaki itu diberkas di Lebuh AMJ menghala ke Melaka pada pukul 12.05 tengah malam 17 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah memberitahu, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 44 tahun hingga 51 tahun.

"Modus operandi kumpulan ini ialah menghubungi pengiklan rumah atau kedai sewa yang disiarkan di akhbar-akhbar dan menunjukkan minat untuk menyewa.

"Namun sebaik sahaja berjumpa dengan mangsa, suspek akan mengikat dan menyamun apa sahaja barang yang ada pada mangsa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini kelmarin.

Tambahnya, dalam tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barang disyaki dicuri dan digunakan untuk kegunaan samun.

Antara yang dirampas ialah sebuah kereta Proton Iswara, sebuah Perodua Kancil, sebilah parang, cota, tali, pita pelekat, empat unit telefon bimbit, tiga utas jam tangan, seutas rantai leher emas dan seutas rantai leher jed hijau.

"Siasatan lanjut juga mendapati, terdapat tiga lagi ahli kumpulan ini yang masih diburu dikenali Yong Ah Kong bernombor kad pengenalan 600206 -05-5349 dan Pak Tiew Liau serta seorang lagi yang masih belum dikenal pasti identitinya.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan," katanya.

Tambahnya, dengan tertangkapnya ahli kumpulan itu, pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan 50 kes samun berkawan di sekitar negeri ini, Perak dan Johor.

Dalam kes berasingan, Raja Shahrom berkata, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes samun dan ragut setelah menumpaskan kumpulan samun dikenali 'Geng Halim' pada 4 Mac lalu.

"Berdasarkan maklumat diperolehi, polis berjaya menahan dua suspek lelaki di sebuah rumah di Bukit Rambai selain turut menahan empat lagi suspek dalam tiga serbuan berasingan untuk membantu siasatan.

"Suspek yang berumur antara 20 tahun dan 30 tahun termasuk ketuanya dikenali sebagai Halim berumur 28 tahun disyaki terlibat dalam kes samun salun, stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam dan ragut," katanya.

Menurut beliau, polis juga merampas beberapa barang kes iaitu sebuah motosikal curi, dua unit telefon bimbit, sebilah pisau pemotong daging, sebilah pisau lipat, dua paket serbuk disyaki dadah, 28 gulung wang kertas RM1 dan satu alat pelekat plastik.

Tambahnya, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.


sumber: utusan.com.my


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Penafian: Segala maklumat yang tercoret ini adalah hasil idea dan maklumat yang diperolehi TIDAK BOLEH digunakan sebagai rujukan utama atau bahan bukti dalam apa jua tindakan.

Pihak pengurusan web tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kemudaratan yang terjadi selepas menggunakan web ini.

Pihak pengurusan web tidak bertanggungjawab atas segala ulasan yang dibuat oleh pembaca. Oleh itu, semua pengulas dapat mengulas dengan mengikut tatasusila tanpa menyentuh kepentingan agama, bangsa dan politik tanahair.

Segala kisah dan cerita di dalam ini tiada kaitan dengan yang masih hidup ataupun yang mati kecuali kesahihannya disahkan oleh sumber yang boleh dipercayai.

Pihak pengurusan web bersedia membetulkan apa jua fakta yang dirasakan tersilap dengan menghubungi di email miey77@hotmail.com