Surat dari Pelancong Melaka Yang Tak sedap di dengar. Dipetik daripada Utusan Online 27/01/2011..
Aku harap dapat jadi pengajaran kepada penduduk Melaka terutama yang berniaga tu..
Rasanya macam aku tahu restoran yang dimaksudkan...
Melaka cantik, tapi mana budi bahasa?
PADA kesempatan cuti sempena perayaan Krismas baru-baru ini, saya telah mengambil kesempatan membawa keluarga untuk bercuti ke Melaka.
Selepas membayar tol di Plaza Tol Air Keroh sehingga tiba ke tempat penginapan sekitar Jalan Ujung Pasir, saya agak leka mengagumi kepesatan pembangunan negeri Melaka yang tersusun terutamanya dari aspek kebersihan, penyelenggaraan, tempat tarikan pelancong dan sebagainya.
Justeru, saya dan keluarga (seramai 24 orang termasuk ipar-duai) mengambil keputusan untuk bermalam selama dua hari.
Tahniah kepada Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang inovatif dan kreatif. Akan tetapi kerajaan negeri seharusnya memikirkan sesuatu untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang amat teruk sepanjang masa.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menggesa pihak-pihak penyelia makanan agar lebih cekap, berdisiplin, berbudi bahasa ketika melayan pelangan di kedai mereka.
Ini kerana, pada hari Sabtu, 25 Disember 2010, lebih kurang 1 tengah hari, setelah melawat ke Menara Taming Seri, kami sekeluarga telah ke restoran berhampiran untuk menikmati masakan asam pedas yang kononnya amat terkenal itu.
Apa yang mengejutkan saya dan keluarga, tanpa usul periksa seorang perempuan lanjut usia yang dipercayai pemilik restoran berkenaan telah memaki-hamun keluarga kami di hadapan pelanggan yang lain hanya kerana sedikit salah faham ketika kami membuat pesanan.
Apakah hak beliau untuk berkelakuan sedemikian sedangkan kami datang untuk menikmati makanan bukan secara percuma.
Kami dihina seolah-olah meminta makanan percuma.
Mengenangkan makanan di atas meja dan perempuan tua itu sebaya ibu saya, saya masih mampu bersabar untuk tidak bertindak balas secara lebih keras seperti menterbalikkan meja kerusi di restoran tersebut.
Ini kerana, saya merasakan kami tidak sepatutnya diherdik dan dilayan sedemikian rupa. Melalui penduduk tempatan, saya mendapat tahu bahawa restoran tersebut bukan sahaja terkenal dengan masakan asam pedasnya tetapi lebih terkenal kerana sikap dan perangai wanita tua ini yang tanpa segan silu dan dengan sombongnya memaki hamun pelanggan sesuka hati.
Saya merasakan usaha kerajaan negeri mempromosi pelancongan sebagai produk negeri seharusnya seiring dengan budi bahasa dan khidmat pelanggan yang setimpal.
Usaha ini akan menjadi sia-sia seandainya terdapat lagi pengusaha restoran yang sombong dan bongkak bermaharajalela. Diharap pihak berwajib dapat menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya demi sama-sama menyokong aspirasi kerajaan mencapai matlamat yang dirancang.
SHAHRUL NIZAM BOHARI,
Kuala Lumpur
Sumber: Utusan online