Alhamdulillah.. dengar citer lebih 50 orang Bayi terselamat daripada dibuang oleh ibu bapanya dan yang dari Melaka hanya lebih kurang 5 orang je.. Selebihnya orang luar Melaka.
Selain itu, ibu-ibu muda ini dapat diselamatkan dan diperbaiki. Alhamdulillah..
Jadi kepada mereka yang macam nak terkeluar anak tekak kutuk Sekolah Harapan dulu.. harap terimalah kenyataan bahawa tindakan Tok Ali sebelum ni tepat... Tahniahlah Tok Ali..
Tenang berada di Sekolah Harapan
JASIN 15 Ogos - Seorang penghuni Sekolah Harapan di sini mengakui dirinya kini cukup tenang dan mula merasai naluri seorang ibu walaupun baru sebulan melangkah masuk ke sekolah khusus untuk remaja hamil itu.
Pelajar tersebut, Ayu, 19, berkata, pada peringkat awal, jiwanya memberontak apabila mengetahui keluarga mahu menghantarnya ke sini kerana sudah biasa hidup bersosial, merokok dan minum arak bersama rakan-rakan sebaya.
"Namun, selepas sebulan berada di sini, saya berasa begitu tenang sekali dan naluri keibuan mula terasa walaupun mengandung anak luar nikah pada usia yang muda," katanya.
Ayu ditemui pemberita pada majlis penyampaian sumbangan hari raya anjuran Anggota Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari) di Sekolah Harapan di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Sekolah Harapan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan Pengerusi Bistari , Datuk Asmah Abdul Rahman.
Ayu merupakan antara 30 penghuni sekolah khusus untuk remaja hamil luar nikah, Sekolah Harapan yang terletak di Jalan Pegawai, di sini.
Berasal dari Johor Bahru, anak bongsu daripada tiga beradik ini mengakui, Ramadan kali ini paling bermakna buatnya kerana dapat meraikan bersama rakan-rakan senasib di sekolah tersebut.
"Alhamdulillah, kehidupan saya di sini lebih teratur. Keadaan saya sekarang jauh berbeza dengan sebulan yang lalu, daripada seorang yang sosial, kaki botol dan kuat merokok, perlahan-lahan saya bebas daripada semua itu.
"Tidak sabar rasanya untuk pulang berhari raya di samping keluarga tercinta," katanya yang kini mengandung empat bulan.
Menurut Ayu, sebelum ini dia tidak pernah menghormati kemuliaan bulan Ramadan dan menganggapnya sama sahaja seperti bulan lain.
Tambahnya, semua perkara yang diwajibkan ke atasnya sebagai umat Islam diabaikan, jauh sekali untuk melakukan perkara-perkara sunat.
"Saya rasa bertuah kerana di Sekolah Harapan, saya semakin dekat dengan ajaran Islam, dapat berpuasa, menunaikan solat sunat tarawih dan membaca al-Quran," katanya.
Sambil mengalirkan air mata, Ayu berkata, selepas keluar dari sekolah itu kelak, dia berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan lalu dan memberi didikan agama secukupnya kepada anaknya supaya tidak menjadi sepertinya.
0 comments:
Catat Ulasan