Semalam ketika menonton berita TV3, terkejut aku bila mengatakan Siamang di Zoo Melaka mencederakan seorang kanak-kanak pengunjung daripada luar Melaka.
Di bawah ni cerita bapa mangsa kepada harian metro dan dipaparkan pagi ini.
MELAKA: “Saya perasan siamang itu melompat-lompat atas jalan sambil mengejar beberapa pengunjung. Saya sangka ia jinak dan memang dilepaskan untuk hiburan pengunjung zoo menyebabkan kami tak bimbang menghampirinya.
“Bagaimanapun, sebaik menghampiri haiwan itu berpusing dan menerkam lalu menggigit kuat betis kanan kaki anak saya yang sedang didukung,” kata Kamarul Baharin Othman, 37, yang anak lelakinya, Muhammad Afieq Haziq, 3, parah akibat betis kanannya digigit seekor siamang hingga terkoyak dan menampakkan tulang ketika melawat Zoo Melaka di Ayer Keroh di sini, kira-kira jam 2.30 petang, kelmarin.
Difahamkan kejadian itu berlaku selang 15 minit selepas haiwan sama menggigit kaki kanan seorang kanak-kanak perempuan, Nurul Zukrina Abdul Hadi, 5, yang berkunjung ke zoo itu sempena cuti sekolah bersama keluarganya dari Pekan, Pahang.
Difahamkan juga kanak-kanak terbabit hanya luka kecil dan menerima tiga jahitan di Hospital Melaka (HM) sebelum dibenarkan pulang. Bapanya enggan ditemu bual berhubung kejadian itu.
Menurut Kamarul, kejadian itu disedari isterinya yang menjerit kuat apabila melihat siamang berbulu hitam, seberat kira-kira 38 kilogram itu menggigit kaki anak keenam daripada tujuh beradik itu.
“Apabila sampai di kawasan siamang itu, kami lihat ramai pengunjung dan saya mendukung Muhammad Afieq sambil diikuti lima anak lain serta isteri yang turut mendukung anak bongsu kami.
“Saya sangka siamang itu jinak kerana tiada papan tanda amaran atau petugas zoo berkawal di kawasan itu. Malah, haiwan itu kelihatan tidak bahaya dan melompat-lompat sambil mengejar pengunjung lain sebelum dia berhenti seketika.
“Ia kemudian berada di kiri saya dan tiba-tiba terus berpusing. Saya tak perasan pada mulanya, namun isteri menjerit kuat mengatakan kaki anak kami digigit dan serentak itu anak menangis kuat,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka kira-kira jam 1 pagi, semalam.
Kamarul berkata, serentak itu dia memegang kepala siamang itu dan cuba mengerak-gerakannya, namun haiwan itu enggan melepaskan gigitannya.
“Saya yang terperanjat jadi panik dan tidak berani menyentap kepala siamang itu kerana bimbang luka pada betis anak lebih parah. Seorang pengunjung lelaki pantas menyepak badan siamang itu hingga gigitannya tercabut dan saya terus mencampaknnya sekuat hati.
“Dalam keadaan anak menangis dan darah keluar dengan banyak hingga mengenai baju dan seluar, saya berlari ke arah kaunter tiket sejauh kira-kira 1.5 atau dua kilometer untuk mendapatkan bantuan sambil menjerit meminta pengunjung ke pejabat pentadbiran.
“Petugas zoo muncul memberi bantuan dengan mencuci dan membalut luka anak saya sebelum kami dibawa ke klinik kesihatan berdekatan,” katanya yang tinggal di Taman Seri Andalas, Klang, Selangor.
Menurutnya, dia kesal kerana mendakwa tiada petugas zoo di tempat haiwan itu untuk memberi sebarang bantuan kepada pengunjung ketika kecemasan.
“Sewajarnya ada petugas di setiap lokasi haiwan berkenaan supaya mudah orang ramai yang mengalami kecemasan mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada pihak zoo yang membantu membawa anak ke klinik kesihatan dan seterusnya ke HM untuk rawatan,” katanya.
Menurutnya, setiba di wad kecemasan, anaknya diperiksa dan dirawat doktor sebelum menjalani pembedahan selama tiga jam bermula jam 9 pagi dikendalikan pakar bedah tulang dan pakar bius.
“Alhamdulillah anak saya makin sembuh dan doktor memberitahu dia perlu rawatan susulan setiap hari sehingga benar-benar sembuh. “Selepas itu anak saya perlu menjalani fisiotrapi supaya dapat berjalan seperti sedia kala,” katanya yang merancang memindahkan anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
Sementara itu, isterinya, Anita Leman, 35, berkata kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga mengalami trauma yang teruk.
“Sampai tujuh keturunan saya tidak akan bawa anak ke mana-mana zoo,” katanya.
sapa tak pernah tengok siamang.. ini gambar dia
Bulu Siamang berwarna hitam atau perang kemerah-merahan. Mereka hidup berkumpulan antara enam hingga tujuh ekor. Siamang jantan lebih besar berbanding dengan siamang betina, dan bersikap agresif apabila diganggu. Sewaktu terdapat bahaya, siamang betina akan mengeluarkan suara yang nyaring dan diikuti oleh siamang jantan selama tiga hingga lima belas minit.
Maklumbalas daripada Zoo Melaka juga menerusi harian Metro seperti dibawah
MELAKA: Siamang yang menyerang dua kanak-kanak di Zoo Melaka kelmarin, sudah ditangkap dan dikuarantin pihak zoo sebagai langkah keselamatan.
Pengarah Zoo Melaka, Ahmad Azhar Mohammed berkata langkah itu prosedur lazim pihaknya bagi mengelak haiwan berkenaan terus mengganas dan menyerang pengunjung.
Katanya, kejadian serangan siamang terhadap manusia adalah pertama kali berlaku sejak Zoo Melaka ditubuhkan pada 1963 dan pihaknya amat terperanjat dan dukacita dengan kejadian itu.
“Sebenarnya insiden seperti ini tidak pernah berlaku di Zoo Melaka. Bukan tabiat siamang menyerang manusia. Saya berpendapat mungkin berlaku provokasi oleh manusia hingga menyebabkan tekanan dan ia terkejut lalu bertindak balas menyerang manusia,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, siamang yang kini berjumlah enam ekor di Zoo Melaka, tidak diletakkan di dalam sangkar besi sebaliknya ditempatkan di habitat berbentuk pulau dikelilingi air kolam buatan.
Katanya, sifat semula jadi siamang dan ungka tidak boleh berenang dan tidak suka kepada air menyebabkan ia jarang keluar dari habitatnya itu.
“Siamang adalah haiwan yang amat menjaga sempadan habitatnya dan bergerak dalam koloni tertentu mengandungi ibu dan anak serta tidak boleh diletakkan dalam koloni yang banyak spesis jantan kerana ia akan bergaduh,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Azhar berkata pihaknya membantu meringankan beban keluarga mangsa dengan memperuntukkan polisi insurans tanggungan awam kepada setiap pelawat.
“Zoo Melaka amat dukacita dengan kejadian itu (serangan) dan memohon maaf. Ini adalah kejadian pertama di zoo ini.
“Pihak kami akan menyiasat secara terperinci mengenai kejadian ini dengan mendapatkan kerjasama pakar berkaitan di negara ini.
“Saya difahamkan ketika kejadian ada petugas zoo di kawasan berhampiran di kandang landak selain penyelia dan mereka segera memberi bantuan apabila mengesan kedudukan mangsa,” katanya.
Gambar aku amik daripada Harian Metro online
Walau apapun perkara dah berlaku, aku harap semua orang dapat amik iktibar. Pihak Zoo pun sama.. begitu juga pengunjung. Dalam soal keselamatan tiada kompromi... Nasib baik Siamang buatnya Harimau Malaya...
Kepada mangsa aku doakan semoga cepat sembuh dan kepada pihak zoo Melaka akan lebih berwaspada. Almaklumlah.. Melaka ni Negeri Pelancongan.. Anyway.. sebenarnya aku suka sesekali berkunjung ke Zoo Melaka tapi naik trem la.. sebab maleh aku nak jalan.. jauh bangat seh.
Video di
SINI